Perak FC tarik diri, tapi tunggakan gaji masih jadi beban.Yusri Che Lah sudah bawa kes ke FAM – kini semua tunggu tindakan MFL.

Perak FC Undur Diri, Tapi Hutang Gaji Masih Membelenggu
SELEPAS hampir tiga bulan saingan Liga Super musim lalu melabuhkan tirainya, isu tunggakan gaji di Perak FC terus menjadi topik panas apabila barisan pemain dan pegawai pasukan masih belum menerima bayaran tertunggak selama enam bulan. Lebih memburukkan keadaan, caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut tidak dijelaskan.
Meskipun pihak pengurusan Perak FC sudah mengumumkan penarikan diri daripada saingan musim 2025/2026 yang dijadual bermula Ogos ini, tanggungjawab mereka terhadap pemainserta pegawai pasukan masih belum dilunaskan sepenuhnya. Situasi ini nyata mencetuskan keresahan dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung.
Pengendali pasukan, Yusri Che Lah meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang dihadapi. Menurutnya, ini adalah kali pertama beliau berdepan dengan sebuah pasukan yang menghentikan operasi pengurusan namun masih gagal melangsaikan tunggakan gaji. Sebagai perbandingan, beliau pernah bersama pasukan lain yang juga ditutup, tetapi tetap menunaikan tanggungjawab membayar gaji yang tertunggak.
Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan berasal dari Perlis turut mendedahkan bahawa isutunggakan gaji bermula seawal Mei 2024, apabila pemain dan pegawai hanya menerima separuh daripada gaji bulanan mereka. Keadaan ini berlarutan sehingga hujung tahun, memberikan tekanan emosi dan kewangan kepada semua pihak yang terlibat.