Uncategorized

Perak Wonderkid Bersedia Menyinar di Pentas Antarabangsa

Perak Wonderkid Bersedia Menyinar di Pentas Antarabangsa

Daniel Hakimi Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya B-23 untuk Piala Bebas ASEAN

Pemain muda Perak FA, Daniel Hakimi, telah melakar satu lagi kejayaan dalam kerjayanya apabila secara rasmi dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya Bawah-23. Pemilihan ini dibuat oleh ketua jurulatih kebangsaan B-23, Nafuzi Zain, sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala Bebas ASEAN B-23 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 15 Julai ini.

Daniel, yang lebih dikenali dengan gelaran mesra “Kecik Maro” dalam kalangan peminat dan rakan sepasukan, telah mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad Perak FA sepanjang musim Liga Malaysia. Aksi konsisten serta semangat juangnya di atas padang menjadikannya antara pemain muda yang menonjol dan menarik perhatian pihak kejurulatihan kebangsaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Dato’ Haji Mohd Azhar Jamaluddin, turut menzahirkan ucapan tahniah atas pemilihan Daniel bagi menyertai skuad kebangsaan dan mewakili negeri di pentas antarabangsa.

“Ini merupakan satu detik yang membanggakan buat seluruh warga bola sepak Perak. Pemilihan Daniel mencerminkan hasil usaha gigih beliau serta keberkesanan program pembangunan bola sepak yang kita jalankan di Perak,” kata Dato’ Azhar.

“Kami di PAFA mendoakan kejayaan buat Kecik Maro. Semoga beliau terus membawa nama Perak ke peringkat lebih tinggi dan mengharumkan nama negara di kejohanan tersebut. Kejor Malaysia Kejor!”

Kejohanan Piala Bebas ASEAN B-23 akan menghimpunkan barisan pemain muda terbaik dari seluruh Asia Tenggara dan menjadi medan penting buat pemain seperti Daniel untuk membuktikan kemampuan serta membuka ruang ke skuad senior negara.

Kejayaan Daniel ini juga menandakan perkembangan positif dalam pembangunan pemain muda di Perak, dan menjadi inspirasi buat ramai lagi bakat muda yang bercita-cita untuk mewakili negara satu hari nanti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button