Uncategorized

Jamal membidas kerana menegaskan bahawa pasukan yang tidak mampu Liga super tidak harus malu untuk menyertai Liga A1.

Pasukan yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan atau benar-benar tiada kemampuan untuk bersaing dalam Liga Super tidak perlu malu untuk turun taraf beraksi di pentas Liga A1 Semi-Pro.

Malah, keputusan berundur setapak dengan beraksi di liga separuh profesional itu dianggap lebih baik daripada membiarkan pasukan terkubur atau hilang terus dari peta Liga Malaysia (Liga M).

Khamis lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan dua pasukan yang memiliki nama besar dalam Liga M, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus tidak layak beraksi dalam Liga Super musim depan.
Status naib juara Piala Malaysia musim lalu, Sri Pahang yang sebelum ini dilaporkan tidak akan bersaing dalam Liga Super masih menjadi tanda tanya walaupun kelab itu diberikan lesen kebangsaan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan tidak salah untuk mana-mana kelab termasuk pasukan besar berundur ke belakang dengan menyertai Liga A1 Semi-Pro.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menjelaskan, pasukan terbabit boleh membina tapak untuk membangunkan semula pasukan sebelum kembali ke Liga Super pada masa akan datang.

“Saya sudah cakap banyak kali, kita kena buat seperti kita belajar silat, berundur setapak ke belakang bagi mengatur langkah lebih baik untuk bergerak ke depan, begitu jugalah dalam bola sepak.

“Jika anda rasa terlalu susah, anda ke belakang satu langkah, pergi ke Liga A1. Bentuk semula pasukan kerana di situ liga separuh profesional, maknanya bayaran gaji pun kurang, bangunkan pasukan dengan mencari kewangan yang kukuh dahulu.

Apabila pasukan sudah nampak kemas, jadi juara A1, masuk semula ke Liga Super. Itu maksud saya, sudah lama saya cakap, tapi siapalah yang nak dengar. Sekarang sudah terbukti, banyak pasukan terpaksa bergelut dan kelab tidak belajar dari dulu,” katanya.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya sedia membuka pintu buat KDA dan Perak untuk beraksi di Liga A1 bagi mengelak dua pasukan itu terkubur selepas gagal mendapat lesen kebangsaan.

KDA dalam kenyataan, kelmarin menjelaskan bahawa mereka sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terbabit secara aktif dalam landskap bola sepak negara termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula pasukan itu.

Namun, malang bagi Perak apabila mereka dilaporkan akan tutup kedai selepas kelab itu tidak akan menyertai sebarang liga atau kejohanan musim depan dengan pemain dan jurulatih kini bebas mencari peluang bersama pasukan lain.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button