BEKAS pemain Perak FC, kini bergelar jurulatih Prima United FC.

Hebatnya anak jati Perak, kini bergelar jurulatih Prima United FC
BEKAS pemain Perak FC, Nurridzuan Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Nurri kini meneruskan legasi bola sepaknya sebagai jurulatih pasukan Prima United FC.
Beliau kini aktif membangunkan bakat-bakat muda tempatan menerusi pembentukan pasukan Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun.
Dalam satu hantaran di Instagram miliknya, Nurri memaklumkan bahawa pasukannya sedang giat mencari pemain muda berbakat untuk menyertai Liga Junior X serta membentuk skuad utama bagi saingan Liga PBI-Ipoh Divisyen 1.
Menariknya, Nurri tidak bergerak sendirian kerana dia turut dibantu oleh bekas penjaga gol berpengalaman Perak, Khairul Amir Salehuddin, yang menggalas tugas sebagai penolong jurulatih merangkap jurulatih penjaga gol pasukan berkenaan.
“Kami sedang mencari bakat muda untuk menyertai pasukan Under 14 dan Under 16 bagi menghadapi Liga Junior X serta mempersiapkan pasukan utama untuk Liga PBI-Ipoh Div 1.
“Penyertaan ke dalam pasukan ini terbuka kepada belia tempatan yang berumur antara 14 hingga 25 tahun.
“Pemain yang berminat mestilah komited untuk hadir ke sesi latihan secara konsisten, bersedia berkhidmat dalam jangka masa panjang, serta tidak mempunyai sebarang masalah pengangkutan,” katanya di laman Instagram.
Tambahnya lagi, latihan akan dijalankan di Padang Berbandaran Gopeng, Perak bermula pukul 5.30 hingga 7.00 petang, setiap Rabu dan Khamis.
Apa yang lebih mengujakan, penyertaan itu adalah percuma, tanpa sebarang yuran dikenakan, satu usaha murni untuk memberikan peluang kepada anak muda sekitar Ipoh, Gopeng dan Kampar menyertai latihan secara profesional tanpa beban kewangan.
Untuk rekod, Nurridzuan memulakan karier bola sepak bersama skuad Piala Presiden Perak yang mana ketika itu dia merupakan kapten pasukan telah berjaya membawa pasukan itu menjuarai Piala Presiden pada 2012.
Kejayaan itu telah membuatkan dia diserap ke skuad utama sehingga hujung musim. Nurri kemudian menyarung jersi Harimau Muda A selama dua tahun sebelum kembali ke Ipoh, Perak untuk bermain untuk The Bos Gaurus.
Dia kemudian berhijrah ke pasukan Sri Pahang, PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC namun gagal mempamerkan prestasi terbaik menyebabkan kelibatnya kini tiada dalam saingan Liga Malaysia.